LPHP menganjurkan sesi Townhall bersama Pemaju dan Agensi Teknikal

  • Diterbitkan pada 28/11/2024
  • 109 klik

KUANTAN, 28 NOVEMBER 2024: Satu sesi Townhall telah diadakan melibatkan pihak pemaju, dan agensi teknikal bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang, bertujuan membincangkan isu-isu pelaksanaan projek pembangunan perumahan di bawah Kerajaan Negeri Pahang.

Sesi ini dipengerusikan oleh YB Dato' Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff, EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, dengan fokus kepada usaha menangani cabaran pelaksanaan serta mengukuhkan pelan tindakan bagi memastikan projek-projek perumahan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Sepanjang sesi ini, para pemaju diberi peluang untuk mengemukakan pandangan, cadangan, dan penyelesaian terhadap isu-isu teknikal serta prosedur yang dihadapi. Pada masa yang sama, agensi-agensi teknikal berkongsi langkah-langkah penambahbaikan dan garis panduan terkini untuk mempercepatkan kelulusan serta meminimumkan sebarang kelewatan dalam projek pembangunan.

Townhall ini juga memberi penekanan terhadap komitmen semua pihak untuk terus memperjuangkan penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti tinggi demi kesejahteraan rakyat Pahang. Dengan kerjasama dan sinergi yang kukuh antara Kerajaan Negeri, agensi teknikal, dan pihak pemaju, diharapkan skim-skim perumahan mampu milik akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Turut hadir dalam sesi ini ialah YH Dato' Ahmad Islanizam bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), bersama wakil agensi-agensi teknikal yang berkaitan, termasuk PLANMalaysia@Pahang, Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, Tenaga Nasional Berhad (Pahang), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang, Pengurusan Air Pahang Berhad, dan Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang.

Semoga hasil perbincangan ini mampu menjadi titik tolak kepada kejayaan projek-projek perumahan mampu milik di Negeri Pahang, seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada tempat tinggal yang selesa dan berkualiti

 

Sistem Perumahan Awam Pahang

Satu pusat sehenti berkaitan perumahan yang menawarkan perkhidmatan berikut:
  • Senarai projek-projek perumahan mengikut daerah
  • Pendaftaran dan semakan permohonan perumahan di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, Projek Rumah Makmur, Projek Rumah Pahang, Projek Rumah Penjawat Awam Negeri Pahang (RPAP), Rumah Kos Rendah dan Sederhana Rendah.
  • Kemudahan pembayaran sewaan Rumah PAKR secara atas talian

"Kediaman Selesa, Hidup Sejahtera"

Hakcipta Terpelihara © 2024
Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang
Tingkat 7 & 8, Menara Teruntum, Jalan Mahkota, 25000 Kuantan, Pahang
Tel : 095512777 / 095512888
Email : home[a]lphpahang.gov.my