Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bersama Kerajaan Negeri Pahang
KUALA LUMPUR, 3 MAC 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi penyerahan dan pengurusan rumah-rumah di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) di Negeri Pahang yang sebelum ini dinamakan sebagai Program Perumahan Rakyat (PPR).
MoU ditandatangani oleh Dato' Sri Haji Zulkifli Bin Haji Yaacob, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula diwakili oleh Datuk Wira M Noor Azman Bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sambil disaksikan oleh Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail, YAB. Menteri Besar Pahang.
Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Bin Mohd Ariff, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YH Dato’ Ahmad Islanizam Bin A. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), Encik Murali Jayabalan, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Perumahan, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Barisan Ahli Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP).
Menerusi MoU ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyerahkan pengurusan rumah-rumah di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) di Pahang kepada pihak Kerajaan Negeri yang akan diselia oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) untuk dibuat pengisian oleh rakyat yang layak di negeri itu.
Pada hari ini, enam (6) PRR di Pahang akan diseliakan oleh LPHP iaitu PRR Pelangai di Bentong, PRR Luit di Maran, PRR Kuala Tahan di Jerantut manakala PRR Inderapura, PRR Pulau Manis dan PRR Chendor masing-masing di Kuantan.
Melalui perjanjian tersebut, empat (4) projek PRR iaitu PRR Pelangai (200 unit), PRR Inderapura (100 unit) dan PRR Pulau Manis (100 unit) diselia oleh LPHP manakala satu (1) projek PRR Luit di Maran pula diserahkan secara separa sebanyak 54 unit dan baki 46 unit akan diserahkan setelah kerja-kerja pembaikan cerun oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) siap dilaksanakan.
Sementara itu, dua (2) lagi projek iaitu PRR Kuala Tahan di Jerantut (100 unit) dan PRR Chendor di Kuantan (100 unit) masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2025.
Program Residensi Rakyat (PRR) sebelum ini dinamakan sebagai Program Perumahan Rakyat (PPR) oleh kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah.
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Negara dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) adalah agensi pelaksanaan utama bagi projek-projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang terdiri daripada dua (2) kategori iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Dimiliki dengan menggunakan spesifikasi perancangan serta rekabentuk perumahan kos rendah yang ditetapkan dalam Standard Perumahan Kebangsaan Bagi Perumahan Kos Rendah Pangsa. Harga jualan rumah Projek Residensi Rakyat (PRR) bernilai RM45,000 bagi setiap unit.
Sehingga kini, terdapat sebanyak 3,668 unit rumah di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) membabitkan 27 projek di Negeri Pahang yang telah diserahkan untuk diselia dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri.