Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Cabutan Undi bagi Projek Rumah Pahang di Felda Sungai Retang, Daerah Jerantut dan Felda Jengka 11, Daerah Maran
MARAN, 29 OGOS 2024: Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) telah mengadakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Cabutan Undi Lot Rumah bagi Projek Rumah Pahang di Felda Sungai Retang, Daerah Jerantut dan Felda Jengka 11, Daerah Maran. Majlis ini merupakan satu langkah penting dalam usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat Pahang, khususnya di kawasan luar bandar dan peneroka Felda memiliki perumahan yang berkualiti dan mampu milik.
Projek ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam menyelesaikan isu projek perumahan terbengkalai. Projek Rumah Pahang, yang dahulunya dikenali sebagai Projek Generasi Baharu Felda (PGBF), telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri Pahang dan dijenamakan semula sebagai Projek Rumah Pahang. Tindakan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menangani isu-isu perumahan yang telah lama tertangguh, sekali gus memberikan harapan baru kepada rakyat.
Proses penyerahan surat tawaran dan cabutan undi bagi rumah-rumah ini berlangsung dengan lancar, di mana penerima yang layak telah dikenalpasti dan diberikan peluang untuk memiliki rumah idaman mereka. Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YH Dato' Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said, Penyelaras Dewan Negeri Jengka dan juga Datuk Azjuriyahti binti Azlan, Pengarah Urusan KMDI Holding Sdn. Bhd., yang turut memberikan sokongan kepada penerima rumah dan menjayakan majlis tersebut.
Tuntasnya, majlis ini bukan sahaja memberi makna besar kepada penerima rumah, tetapi juga menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan perumahan berkualiti tinggi kepada rakyatnya.